ESSEI AKADEMIK
GGGE2153
TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
TUGASAN
KUMPULAN :
ESEI
AKADEMIK – KEPENTINGAN & KEKANGAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENDIDIKAN SERTA CADANGAN UNTUK
MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
NAMA PENSYARAH :
ENCIK MD YUSOF BIN DAUD
NAMA AHLI KUMPULAN :
1) SITI
AISYAH FATIMAH BINTI ZAILANI (A143889)
2) FARHANA
BINTI CHE MUNI (A143871)
3) NURUL
‘AQILAH BINTI MD HAPIDZ (A143887)
KEPENTINGAN
TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
Menurut kamus dewan edisi keempat, teknologi merujuk
kepada aktiviti atau kajian yang menggunakan sains untuk tujuan praktis dalam
industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan pendidikan. Teknologi juga
bermaksud kaedah atau proses menangani sesuatu masalah teknikal. Teknologi
berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat secara elektronik melalui penggunaan
teknologi komputer dan telekomunikasi.
Teknologi dalam pendidikan bukan lagi suatu isu yang baru untuk
dibincangkan. Pengajaran berasaskan teknologi seperti komputer, perisian dinamik bergrafik mahupun media
teknologi maklumat sering digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.Terdapat beberapa strategi pembelajaran yang boleh digunakan oleh
guru untuk mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antaranya menggunakan paparan multimedia, internet dan perisian
interaktif yang kaya dengan teknologi terkini. Untuk memastikan teknologi
digunakan di dalam kelas, maka guru perlu mempunyai persepsi dan kesediaan
terhadap teknologi yang digunakan. Ini kerana persepsi guru terhadap teknologi
maklumat memainkan peranan yang penting sebagai faktor yang menentukan
keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik
(Yushau, 2006).
Dalam Pelan Rancangan Malaysia Kesembilan juga memberi perhatian terhadap
kepentingan teknologi dalam pengajaran pendidikan, iaitu Kurikulum bagi latihan
perguruan juga akan dikaji semula, antaranya untuk menambah baik kandungan mata
pelajaran, meningkatkan kemahiran pedagogi dan membolehkan penggunaan ICT yang
lebih meluas dalam bidang pendidikan. (RMK 9, 2006, p. 31)
Menyedari kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru
digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran. Antara
usaha untuk membentuk satu proses pengajaran supaya pelajar memahami sesuatu
konsep adalah dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk yang
boleh difahami oleh pelajar. Untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih
bermakna dengan mengintegrasikan teknologi di dalam pengajaran ini juga, guru
perlu mempunyai kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan
digunakan. Terutamanya memberi perhatian terhadap bagaimana dan bila teknologi
dapat digunakan dengan berkesan di dalam kelas matematik (Powers &
Blubaugh, 2005).
Penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar juga dapat
menggalakkan pembelajaran secara penemuan dan bereksperimen. Tujuan
teknologi pengajaran ialah untuk mengubah dan memberi kesan terhadap
pembelajaran. Pembelajaran adalah matlamat, manakala pengajaran adalah cara
untuk mencapai matlamat ini. Guru harus memahami maksud pembelajaran untuk
mencapai matlamat yang dituju. pembelajaran untuk mencapai matlamat yang
dituju.
Selain mewujudkan pengajar yang kompeten, tumpuan utama teknologi
pendidikan ialah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Pengajaran
yang berkesan membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap
yang diharapkan. Pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap membantu
mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar
sekaligus membantu pembinaan disiplin yang positif.
Teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan
P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri
pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang
meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa
memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang
ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan
pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands on, kontekstual,
konstruktivisme dan masteri, melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan
berasaskan projek.
Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad
kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras
dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital,
murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan
dan penghasilan kerja yang tinggi. Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal
dalam bidang revolusi digital pernah mengatakan, “The illiterate of the 21st
century will not be those who cannot read and write, but those who cannot
learn, unlearn and relearn.” (Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang
tidak boleh membaca dan menulis tetapi terdiri daripada individu yang tidak
boleh belajar, belajar meninggalkan apa yang telah dipelajari dan belajar
semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21 memerlukan reaksi pantas manusia untuk
berubah mengikut keadaan dan situasi agar tidak ditenggelami oleh tsunami
teknologi.
Gaya pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar
tidak P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu
mengambil sikap yang terbuka dalam mengetahui dan mengenal pasti teknologi
pendidikan berkesan yang menggabungjalinkan teori instruksional dan teori
pembelajaran. Seperti seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan seperti
tukul, paku, tangga dan sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai
peralatan (teknologi) yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan
berkesan. Dengan wujudnya gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan
yang baik, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan memberi impak yang
besar dalam proses Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti
yang menjadi misi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Antara peranan dan kepentingan lain teknologi pendidikan ialah untuk mengubah peringkat membuat keputusan, mengubah sistem atau pendekatan pembelajaran, dan mengubah pengalaman pembelajaran. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada murid-murid khususnya yang di sekolah rendah. Namun begitu terdapat juga kelemahan yang timbul kesan daripada penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil
pembelajaran. Hal ini kerana guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan
lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara
ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan
lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar secara berkesan.
Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar maka proses pengajaran
dan pembelajaran akan lebih menarik dan berkesan contohnya menggunakan alat
seperti power point, flash, video, visual dan mereka hanya perlu
mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran
dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan
didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami.
Justeru itu pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani
proses pengajaran dan pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang
ditunjukkan melalui ICT.
Di samping itu kesan penggunaan ICT ialah dapat
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan
suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Dengan adanya ICT guru dapat
mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu
kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti
pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT.
Melalui penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan
kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek.
Contohnya penggunaan internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat
terkini mengenai dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan
guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih
cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di
gunakan dalam aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan
pembelajaran akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses
ke dalam sistem.
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran amat penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran guru dan
pelajar. Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran
pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti
komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Semua
benda yang berkenaan dengan ICT mempunyai berbagai fungsi dan kegunaannya yang
tersendiri dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran disekolah. Hal
ini kerana melalui penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran guru dan
pelajar akan lebih menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu
dalam memahami setiap subjek yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan
merekod setiap maklumat yang diperoleh.
Kemahiran dalam menggunakan ICT ini mampu memberi
nilai tambah kepada guru agar dapat menggunakannya untuk menyampaikan ilmu
kepada pelajar agar ianya mudah untuk di fahami. Di samping itu guru juga dapat
menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui pengalaman yang diperoleh
semasa menjalankan proses pengajaran tersebut. Ini kerana semasa proses
pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan saling berinteraksi tentang
apa yang dipelajari serta bertukar pendapat mengenai keberkesanan menggunakan
sistem ICT ini di samping memberi cadangan bagi meningkatkan lagi kualiti
penyampaian. Melalui cara ini guru dan pelajar akan berusaha lagi
menambahkan pengetahuan mengenai teknologi ICT ini. Dalam era dunia tanpa
sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap teknologi yang ada agar
tidak ketinggalan khususnya di dalam bidang pendidikan yang banyak menggunakan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan yang mendalam
mengenai ICT amat penting bagi guru agar ianya dapat di aplikasikan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan lagi pemahaman murid.
Selain itu manfaat yang diperoleh kesan daripada
penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah dapat memberi
peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di
dalam sesebuah kelas tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam
menerima sesuatu yang diajar oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT
murid-murid dapat memahami apa yang diajar dengan lebih jelas kerana proses
pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik serta berkesan hasil daripada
penggunaan alatan ICT tersebut. Contohnya melalui penggunaan alat seperti power
point, grafik, audio, video dan sebagainya maka murid-murid akan lebih memahami
setiap apa yang di ajar kerana di beri gambaran dan persembahan dan persembahan
yang lebih mudah untuk difahami berbanding dengan proses pengajaran dan
pembelajaran yang berbentuk pengkuliahan. Melalui cara ini setiap masalah yang
timbul dapat segera dimaklumkan oleh pelajar kepada guru kerana mereka mudah
bertindak balas terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT.
Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu
pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.
Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan
dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi
Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara menjawab soalan
peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan
pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh
guru-guru cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini
akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman
mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat
membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik
lantas membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang.
KEKANGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI
DALAM PENDIDIKAN
Secara umumnya, dasar ICT dalam
pendidikan telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin pada 12 Oktober 2011.
Antara asasnya adalah untuk pembangunan modal insan secara berterusan,
penggunaan teknologi ICT yang bersesuaian dalam pendidikan, serta transformasi
proses pendidikan melalui teknologi. Meskipun begitu, asas-asas tersebut masih
belum dapat dicapai sepenuhnya kerana menurut Harison Bakar (2008), pada tahun
2003, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan komputer riba
sebagai alat teknologi bagi memudahkan guru dalam pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris namun demikian, dalam
tinjauan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Mei 2007, didapati ramai guru
yang masih belum mengaplikasikan alat canggih tersebut secara optimum.
Selain itu, menurut Md. Nor Bakar
& Rashita A. Hadi dalam Journal of Science and Mathematics Educational,
Volume 2 pada Jun 2011, satu rekod penyelenggaraan yang dijalankan di sebuah
sekolah menunjukkan rekod penggunaan pada tahap yang rendah. Hal ini secara
tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawasanya penggunaan teknologi
dalam pendidikan di negara kita masih belum dapat diimplementasikan secara
total, terutamanya dalam kalangan guru. Ini disokong oleh Rosnaini Mahmud, Mohd
Arif Hj. Ismail & Jalalludin Ibrahim dalam Jurnal Teknologi Pendidikan
Malaysia 2011 yang menjalankan kajian berkaitan penggunaan ICT dalam kalangan
guru di sekolah menunjukkan tahap yang rendah. Kita dapat memahami mengapa
terjadinya perkara ini kerana di sesebuah sekolah, bukan semua guru yang ada
merupakan ‘fresh graduate’ yang kebanyakannya sudah biasa dengan penggunaan
gajet-gajet yang sedia ada pada kini. Tidak dapat kita nafikan, guru-guru
senior masih selesa dengan penggunaan cara manual untuk sesi PDP dan untuk
melakukan perubahan bagi sesuatu budaya memakan masa yang agak lama kerana
bukan semua guru bersedia untuk berubah dek lebih selesa dengan sesuatu yang
mereka biasa.
Dalam Jurnal Teknologi Pendidikan
Malaysia Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, ada menyatakan walaupun ICT telah
diperakui mempunyai pelbagai kelebihan, namun tahap penerimaan pengguna
khususnya guru terhadap inovasi tersebut didapati masih berbeza-beza. Sebagai
contoh, dalam beberapa kajian yang dijalankan, didapati tahap pengintegrasian
ICT berada pada tahap yang sederhana (Jalalludin Ibrahim, 2008; Sazliza Mat
Isa, 2008). Manakala beberapa kajian yang lain menunjukkan tahap
pengintegrasian ICT yang masih lagi rendah (Rosnaini Mahmud & Mohd Arif
Ismail, 2008; Fariza Khalid, 2007; Azwan Ahmad et al, 2003). Hal ini dapat
dibuktikan melalui penyataan dalam Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, iaitu melalui bacaan yang direkodkan oleh
setiap projektor LCD, purata setiap projektor LCD ini beroperasi hanyalah
selama 29 jam dalam jangka masa dua tahun yang boleh dikatakan sangat rendah (MHS,
2005). Namun begitu, kita semua juga sedia maklum yang tidak semua sekolah
dapat dilengkapi dengan kemudahan seperti projektor LCD dan juga makmal-makmal
komputer untuk kegunaan warga sekolah. Misalnya, di sekolah pedalaman Sabah dan
Sarawak, masih terdapat sekolah yang tiada bekalan air dan elektrik.
Kekangan-kekangan seperti ini membuatkan dasar ICT yang diperkenalkan sebelum
ini terbantut pelaksanaannya secara total.
Seterusnya, isu yang ingin
dibangkitkan bagi kekangan pelaksanaan ICT dalam pendidikan di negara kita
adalah faktor masa. Kesuntukan masa menggunakan ICT oleh guru-guru menjadi
penghalang manakala sikap positif, keyakinan diri, dan kemahiran menggunakan
ICT menjadi pendorong pelaksanaannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran
(PDP), (IAB, 2008). Contohnya, masa bagi satu-satu mata pelajaran seperti
Matematik atau Sains adalah singkat dan terhad, 40 minit bagi satu sesi. Jika
guru-guru ingin mengguna pakai ICT untuk mengajar, ia memerlukan persediaan
yang memakan masa paling kurang 5 minit, sebelum dan selepas pengajaran. Itu
belum lagu termasuk masa yang akan terbazir sekiranya terdapat apa-apa masalah
yang timbul dengan alat-alat elektronik yang ingin digunakan. Tambahan pula,
guru-guru sangat mementingkan penggunaan masa yang optimum bagi setiap sesi
kerana mereka perlu mengejar silibus mata pelajaran yang diajar, terutama
sekali bagi kelas-kelas peperiksaan. Hal ini amatlah dititik beratkan agar para
pelajar dapat mengulang kaji pelajaran pada masa yang ditetapkan.
Kemudian, permasalahan yang timbul
adalah masalah perisian kursus yang dibekalkan. Perisian kursus yang dibekalkan
oleh KPM adalah terhad dan tiada kepelbagaian aras kebolehan pelajar. Hal ini
adalah berikutan perisian yang dibekalkan adalah untuk aras kefahaman sahaja
dan tiada penambahbaikan untuk kegunaan pelajar. Menurut Harison Bakar (2008),
penggunaan ‘chalk & talk’ dianggap lebih berkesan oleh sesetengah guru
kerana kandungan CD yang dibekalkan oleh KPM adalah amat ringkas. Dalam kajian
yang dijalankan, antara pendapat guru ialah, pengajaran secara ‘chalk &
talk’ lebih memuaskan hati kerana berlakunya perhubungan secara dua hala,
kandungan perisian tidak mengikut format peperiksaan, serta perisian kursus
hanya sesuai untuk pelajar yang lemah semata-mata.
Kemudian, sistem pendidikan di
negara kita juga amat berorientasikan peperiksaan. Penekanan berlebihan kepada
peperiksaan membuatkan bukan sahaja para pelajar, malah warga sekolah yang lain
terutamanya guru berasa tertekan dan terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus
pelajaran. Guru juga perlu memantau buku-buku latihan dari semasa ke semasa
agar tahap kefahaman mereka dapat diketahui oleh guru agar mereka yang lemah
dapat dibantu daripada terus tercicir. Kebanyakan guru lebih selesa menggunakan
kaedah biasa yang dianggap cepat, berkesan, dan mempunyai bukti kerana jika
kaedah yang baru diguna pakai, belum tentu akan menjanjikan peningkatan dalam
pelajaran para pelajar masing-masing. Sebenarnya, penekanan kepada peperiksaan
mewujudkan beberapa fenomena yang berikut, iaitu guru mengajar dengan kaedah
yang biasa sahaja, mengajar dan belajar hanyalah semata-mata untuk lulus dalam
peperiksaan, guru menghabiskan sukatan seberapa segera, serta suasana
pembelajaran yang lumpuh yakni selalunya sesi pengajaran hanya berpusatkan guru
sahaja. Menurut Toh (2003), penekanan kepada peperiksaan terutamanya
peperiksaan piawai bagi keseluruhan pelajar pada akhir tahun KBSR dan KBSM
menyebabkan guru lebih cenderung untuk melaksanakan proses pengajaran yang
berpusatkan guru kerana kaedah ini terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan
pelajar yang akan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Guru yang
berjaya menghasilkan bilangan pelajar yang ramai mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan biasanya akan dilihat sebagai guru yang berkesan.
Tambahan pula, sikap pentadbir juga
memainkan peranan yang penting dalam pengimplementasian ICT di sekolah. Menurut
Mohd Izham & Norazah (2007), mereka berpendapat bahawa segala perubahan
sekolah terutamanya tentang pelaksanaan ICT di sekolah perlu bermula daripada
keprihatinan dan tindakan pentadbir sekolah itu sendiri iaitu pentadbir selaku
pemimpin sekolah perlu merangka dan merancang segala perubahan budaya positif
dan teknologi yang berasaskan ICT di sekolah. Antara peranan pentadbir untuk
menjayakan dasar ICT di sekolah adalah, mereka perlu menyediakan prasarana yang
sesuai dan lengkap untuk kegunaan warga sekolah seperti komputer dan projektor
LCD. Namun, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil oleh pihak pentadbir
seperti mengunci komputer dengan baik agar tidak dicuri oleh pihak yang
bertanggungjawab dan kemudahan yang disediakan dapat digunakan untuk suatu
tempoh yang lama. Sering kali terjadi sesi pengajaran yang menggunakan komputer
terbantut apabila komputer yang disediakan kurang lengkap seperti tiada tetikus
dan monitor dek hilang kerana kecurian. Selain itu, pentadbir juga perlu
menyediakan latihan kemahiran, baik kepada pelajar mahupun guru, tanpa mengira
umur. Guru-guru senior sebenarnya mempunyai pelbagai idea, yang mana jika kita
menggunakan kaedah ICT berkemungkinan akan lebih menarik dan memudahkan para
pelajar untuk memahami sesuatu topik. Malah, pasti akan lebih meringankan beban
guru. Sayangnya, mungkin kerana kurang kemahiran untuk mengguna pakai kemudahan
alat elektronik yang sedia ada, mereka hanya mengulang cara yang sama, iaitu
secara manual. Para pelajar yang pelbagai memerlukan seseorang guru itu
mempelbagaikan caranya mengajar dan menjadi kreatif. Kaedah pengajaran yang
menarik akan mengelakkan para pelajar daripada berasa bosan semasa berada dalam
kelas dan membantu mereka untuk kekal fokus.
Malah, pihak pentadbir juga perlu
peka terhadap masalah penyelenggaraan komputer. Sering kali terjadi komputer
yang rosak terus tidak dapat digunakan kerana tiada inisiatif daripada pihak
pentadbir untuk membaik pulih komputer atau prasarana seperti LCD projektor.
Alat-alat elektronik seperti itu sewajarnya diselenggara secara berkala dan
dibekalkan dengan perisian yang bermutu serta berkualiti supaya banyak pihak
membuka mata bahawasanya kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyerapkan budaya
ICT dalam sekolah di Malaysia. Pentadbir sekolah juga perlu turut serta dalam
pemilihan pembekal alat-alat elektronik ke sekolah. Mendapatkan alatan yang
berkualiti dan bermutu merupakan hak pengguna dan hal ini diaplikasikan dalam
pemilihan alatan yang dibekalkan di sekolah kerana sekiranya alatan yang
dibekalkan tidak elok keadaannya, ia kan membuang masa banyak pihak untuk
menukar kembali alatan yang diterima. Maka, proses PDP yang mengguna pakai
alatan elektronik tak dapat diadakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Beralih kepada isu yang seterusnya,
dasar ICT masih kurang berjaya dilaksanakan adalah berikutan terdapatnya jurang
digital. Apakah yang dimaksudkan dengan jurang digital? Jurang digital
bermaksud terdapatnya jurang antara satu komuniti dengan komuniti yang lain
dalam akses kepada ICT, pencapaian maklumat melalui ICT, serta memahami dan
menggunakan maklumat daripada ICT. Terdapat empat faktor berlakunya jurang
digital ini. Pertamanya adalah faktor ekonomi. Pihak sekolah kurang
berkemampuan untuk membeli dan mendapatkan khidmat ICT yang bermutu. Kedua,
faktor geografi. Sekolah terbabit tidak mempunyai liputan internet dan bekalan
elektrik yang membolehkan mereka menggunakan kemudahan ini. Ketiga, kemahiran
komputer. Tidak ramai di sekolah itu yang mengetahui bagaimana untuk mengakses
maklumat menggunakan cara dan kaedah yang betul. Dan yang terakhir sekali,
kemahiran bahasa dan literasi. Kebanyakan warga sekolah tidak dapat membaca dan
memahami bahasa internet dengan baik dan hal ini sekali gus membuatkan mereka
berasa malas untuk meneroka dunia baru.
Tambahan pula, penyalahgunaan
internet juga merupakan salah satu kekangan bagi kerajaan untuk melaksanakan
dasar ICT ini. Internet boleh dikatakan sebagai sumber rujukan utama dalam
mengetahui tentang isu-isu semasa tempatan dan juga luar negara, bak kata
pepatah ‘dunia kini di hujung jari’. Internet ini juga merupakan medium hiburan
utama bagi para remaja serta golongan dewasa. Malangnya, kemudahan internet ini
disalah guna oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Internet yang
sepatutnya menjadi medan untuk para pelajar berebut-rebut mencari ilmu
pengetahuan, telah digunakan sebagai medium untuk melawat ke laman-laman web
yang tidak bermoral seperti laman pornografi. Kini, hampir semua pelajar lebih
pandai dan mahir dalam menggunakan gajet-gajet terkini. Mereka lebih bijak
dalam meneroka dunia baru namun tidak semua daripada mereka menggunakannya ke
arah kebaikan. Sekiranya tiada pemantauan daripada ibu bapa, guru, dan pihak
berwajib, mereka akan terus menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak
berfaedah. Hal ini secara tidak langsung membuatkan pihak kerajaan perlu mereka
suatu sistem yang cekap dan ketat agar para pelajar tidak boleh memasuki
laman-laman web yang tidak senonoh tersebut. Sekiranya kelas diadakan di
makmal-makmal komputer, guru mestilah memainkan peranan dengan baik. Mereka
perlu memantau setiap komputer yang digunakan oleh pelajar agar mereka tidak
melakukan apa-apa aktiviti yang di luar batasan.
Maka, sejarah atau ‘history’ setiap laman web yang dikunjungi oleh
pelajar mestilah diperiksa setiap kali tamat satu-satu sesi PDP agar para
pelajar sedar akan pantauan yang dilakukan oleh guru sekali gus membuatkan
mereka berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara yang akan
memudaratkan diri sendiri serta memalukan keluarga. Guru perlu bersikap lebih
agresif apabila melibatkan perkara-perkara yang sebegini kerana jika permasalahan
seperti ini tidak dibendung sedari awal, kemungkinan besar mereka akan
menjadikan kunjungan ke laman-laman web pornografi sebagai satu rutin. kelas
yang diadakan di makmal komputer dijadikan sebagai satu peluang keemasan bagi
para pelajar seperti ini menjalankan kegiatan mereka memandangkan tidak semua
pelajar bernasib baik untuk mempunyai sebuah komputer di rumah. Sekiranya dasar
ICT ingin dilaksanakan, tindakan untuk menangani permasalahan yang sebegini
haruslah dibincangkan secara serius dan mendalam.
CADANGAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah
memberikan impak yang positif dan baik kepada pelbagai bidang perindustrian
termasuklah juga dunia pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang
menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar (BBM) seperti komputer
riba, projektor, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan
pembelajaran dan berbagai-bagai bahan bantu mengajar yang lain. Oleh yang
demikian, adalah satu keperluan bagi para pendidik untuk mempunyai kemahiran
dalam menggunakan alat-alat elektronik seperti ini agar mereka tidak ketinggalan
dalam arus pemodenan serta dapat menarik hati para pelajar untuk belajar secara
digital sekali gus dapat membantu para
pelajar mereka untuk mempunyai kebolehan menggunakan gajet-gejet ini.
Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan
kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah
menengah, seiring dengan dasar ‘Pendidikan adalah untuk Semua’. Justeru, pihak
pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan
sentiasa berusaha dalam mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu
proses pengajaran dan pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan
integrasi teknologi maklumat adalah antara usaha yang telah diperkenalkan di
kebanyakan sekolah rendah serta sekolah menengah.
Selain itu, antara cadangan yang boleh diketengahkan untuk melaksanakan
dasar ICT di sekolah-sekolah adalah dengan membenarkan murid yang mengikuti
program Pemulihan Khas turut menggunakan ICT dalam sesi PDP mereka. Pelaksanaan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap murid yang mengikuti
program tersebut merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan
rangsangan pembelajaran kepada murid, malah dapat meningkatkan pencapaian
akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Menurut Koh Boh Boon (1982), beliau
menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih
mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ia bertujuan
untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini melibatkan
murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang lembap atau lambat dalam mencapai
matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya
dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan
teknologi semasa, ICT digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha
untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana yang
dicapai oleh murid-murid yang lain, khususnya yang sebaya dengan mereka.
Tambahan pula, kurikulum bagi melahirkan guru hendaklah lebih
mengutamakan teknologi instruktional berbanding pedagogi. Dalam melihat
perkembangan positif yang berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita juga
perlu melihat sama ada tenaga pendidik kini telah bersedia dalam
mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh
Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau mendapati bahawa masih
terdapat lagi dalam kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu menggunakan
cakera padat interaktif (salah satu bahan bantu mengajar dalam pembelajaran
berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Daripada kajian beliau, terdapat sebanyak 42 peratus guru tersebut yang
mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan cakera padat yang rendah.
Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka dan menilai
cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian yang dijalankan
oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan pengaplikasian cakera padat
pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih berada pada tahap
yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik ini hanya menggunakan buku teks
sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka.
Seterusnya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendaklah
menyediakan peruntukan yang sesuai untuk menyediakan teknologi komputer terkini
di semua sekolah, termasuklah yang di pedalaman dan di luar bandar agar tiada
pelajar yang tercicir daripada mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Hal ini adalah
berikutan penggunaan ICT sebagai alat serampang dua mata dalam perkongsian
maklumat dan komunikasi. Pihak KPM boleh mengambil peluang ini untuk
mengesyorkan kepada pihak sekolah dan guru untuk mengambil kesempatan daripada
keupayaan ini untuk menjalankan kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini
membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza untuk menghantar,
menerima, dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia
seperti teks, grafik, audio, video, serta animasi. ICT dalam PDP merupakan
perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang
bersungguh-sungguh dan berterusan antara pemimpin sekolah, guru, pelajar, serta
semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para
pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut pembelajaran yang mereka
minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat dan internet juga secara
tidak langsung menyediakan kebolehan interaksi.
Kesimpulannya, kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang
teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat
dan generasi yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada
masa akan datang. Walaupun terdapat pendapat yang mengatakan bahawasanya
penggunaan komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu
berikutan daripada ketidak sediaan para pelajar dalam menerimanya, namun
pandangan seperti ini perlu diperbetul agar semua pihak termasuklah ibu bapa,
penjaga, guru, dan masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan
penguasaan kemahiran ini pada masa akan datang.
Adalah menjadi tanggungjawab institusi-institusi pendidikan untuk bukan
sahaja mengajar, malah mendidik para pelajarnya untuk menjadi pelapis yang
dapat benar-benar bersedia untuk mentadbir dan menguruskan selok-belok hal
negara dengan baik pada masa yang akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan
ini perlu dilaksanakan secara berterusan sedari peringkat awal perkembangan
awal kanak-kanak. Penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam sistem
pengajaran dan pembelajaran adalah sesuatu yang perlu bagi menarik minat
kanak-kanak ini untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala
halangan yang boleh membantutkan niat mereka untuk menuntut ilmu. Bak kata
pepatah, ‘menuntut ilmu biarlah sampai hingga ke negeri China’.
RUJUKAN
1.
http://www.slideshare.net/isuict12/isuict-presentation-kumpulan-12-12989330
(5.45 petang, 15 Disember 2014).
2.
http://ictchungkonglan.blogspot.com/2012/11/penggunaan-ict-dalam-pembelajaran.html
(12.01 pagi, 16 Disember 2014).
No comments:
Post a Comment