KOTA BHARU - Kerajaan sedang menjalankan kajian yang menyeluruh
berhubung penyusutan nilai ringgit, kata Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kajian diselaraskan dengan beberapa pihak termasuk Miti,
Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi
(EPU) untuk memastikan penyusutan nilai ringgit tidak mendadak dan
memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Kita mempunyai pakar dalam kerajaan, Bank Negara Malaysia, Kementerian
Kewangan, EPU dan Miti yang sedang mengkaji perkara ini.
"Apa yang berlaku ada baik dan buruknya," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Jariah Bank Islam
dan Dua Kereta BMW Kepada Pemenang Kempen BMW Pembiayaan Peribadi-i
2014, di sini hari ini.
Mustapa berkata sebagai sebuah negara perdagangan, penyusutan nilai
ringgit sudah tentu memberi kesan dan kajian teliti amat perlu dilakukan
untuk menentukan kesannya ke atas import, eksport, inflasi, guna tenaga
dan lain-lain.
"Turun naik dalam berniaga ini biasa, tidak ada suatu yang tetap dalam
dunia ini, kadang-kadang kita untung kadang-kadang kita rugi sedikit.
"Kadang-kadang ringgit naik, kadang-kadang jatuh, ini perkara biasa
ikut keadaan pasaran. Sehari dua ini, ia turun sedikit dan mungkin suatu
hari nanti ia akan naik pula, ini perkara biasa dalam pasaran, yang
penting kita tidak mahu kejatuhan yang mendadak kerana ia akan memberi
kesan yang teruk," katanya, dengan menambah setakat ini ekonomi negara
adalah kukuh.
Ditanya kemungkinan ringgit harus ditambat berbanding dolar AS, Mustapa
berkata langkah itu tidak perlu kerana ia juga mempunyai kesan buruk
dan baik.
No comments:
Post a Comment