Sunday, 14 December 2014

ASMA & PENGARUH IMAN ??



ASMA menimbulkan simptom ringan hinggalah kepada simptom yang boleh mengancam nyawa. Pencetus asma terdiri daripada sesuatu bahan, aktiviti atau keadaan. Ia menyebabkan penghidap mengalami serangan asma dalam bentuk simptom secara serta-merta atau memburukkan simptom yang sedang dialami.

Apabila seseorang diserang asma, saluran udara dalam paru-paru menjadi sempit dan mengembang. Keadaan tersebut seterusnya menyebabkan seseorang akan mengalami batuk, sukar untuk bernafas dan lelah. Beberapa pencetus asma yang utama termasuk infeksi respiratori, bahan yang menyebabkan alahan, bahan merengsa, senaman dan emosi.

Kesensitifan seorang penghidap terhadap pencetus asma berbeza antara seorang dengan yang lain. Maksudnya ialah sesuatu pencetus hanya menyebabkan serangan asma pada penghidap tertentu sahaja.

Penghidap asma yang sensitif mudah mengalami serangan asma walaupun pencetus pada hakikatnya bukankah bahan, aktiviti atau keadaan yang berbahaya. Sungguhpun terdapat penerangan dari sudut fisiologi mengapa pencetus asma menimbulkan serangan pada penghidap asma, namun begitu sebahagian daripada tindakan yang mencetus serangan dipercayai memiliki kaitan dengan minda.

Jangkaan jadi realiti?

Sebuah kajian berjudul Asthma and odors: The role of risk perception in asthma exacerbation seperti dilaporkan dalam Journal of Psychosomatic Research (Oktober 2014) menunjukkan jangkaan seseorang terhadap kesan fisiologi pencetus asma menyumbang tindak balas pada saluran udara paru-paru.
Dalam kajian tersebut, golongan penghidap asma didedahkan kepada bauan ros yang dikenali dengan istilah kimia phenylethyl alcohol. Bahan ini dikatakan tidak memiliki sebarang sifat yang berbahaya. Sebuah kumpulan diberitahu bauan tersebut bersifat terapeutik manakala sebuah kumpulan lagi diberitahu bauan tersebut boleh menyebabkan masalah pernafasan.

Golongan penyelidik kajian mendapati dua kumpulan yang menyertai kajian tersebut mengalami perbezaan ketara dari segi tindak balas mereka terhadap bauan tersebut. Kumpulan yang percaya bauan tersebut berbahaya didapati mengalami keradangan (inflamasi) yang teruk pada saluran dalam paru.

Keradangan yang dialami juga berlangsung selama 24 jam. Kesan tersebut seterusnya menyebabkan subjek-subjek kajian menjadi sensitif terhadap pencetus asma yang lain.

Pada masa sama, kumpulan yang diberitahu bauan tersebut menyumbang sifat terapeutik pula tidak mengalami peningkatan keradangan pada saluran paru-paru. Ini termasuk subjek yang menyatakan mereka terlalu sensitif kepada pelbagai jenis bau-bauan.
Bau-bauan yang kuat termasuk minyak wangi, deodoran, pelbagai jenis bahan pencuci, lilin harum, semburan rambut serta pelbagai produk perapian diri memang sedia diketahui berpotensi mencetus serangan asma.

Adakah terdapat kemungkinan jangkaan kumpulan subjek mengenai bauan ros yang didedahkan kepada mereka bersifat berbahaya menjadi sebahagian daripada punca menyebabkan mereka mengalami serangan asma?

Ketua penyelidik kajian tersebut, Cristina Jaen percaya ia berlaku bukan setakat berpunca daripada bauan yang dihidu, malah apa yang seseorang fikirkan (tambahan penulis: sifat bauan dalam bentuk tindakan/kesan fisiologi) terhadap bauan yang dihidu.

Jika kajian tersebut benar maka kemungkinan besar pengawalan persepsi terhadap sesuatu bahan, aktiviti atau keadaan yang biasanya dikaitkan sebagai pencetus asma amat penting. Jadi, pengurusan rasa bimbang terhadap pencetus asma mungkin boleh membantu menghalang atau mengurangkan simptom asma.

Emosi darjah tinggi tidak kira sama ada dalam bentuk emosi positif atau negatif memang mudah mencetus serangan asma  setidak-tidaknya pada sesetengah penghidap. Ia akan menyebabkan penghidap asma bernafas dengan pantas di samping beberapa simptom lain.

Emosi yang dimaksudkan termasuklah rasa tertekan, resah, marah atau menjerit. Beria-ia ketawa atau menangis juga didapati sebagai pencetus asma.

Satu cara paling efektif untuk meredakan asma ialah dengan sering merapatkan diri dengan ALLAH. Amalan bersyukur kepada ALLAH dengan mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar apabila mendengar berita gembira biasanya menjadikan rasa girang/gembira berupaya dikawal. Begitu juga dengan kebiasaan beristighfar apabila mendengar atau mendapati suatu keadaan yang kita rasa berlaku di luar kawalan kita.

Semua jenis emosi dan aktiviti seperti menangis dan menjerit merupakan nikmat yang dicipta oleh ALLAH SWT untuk manusia. Secara zahir ia bertujuan agar manusia dapat mengalami pelbagai perasaan yang berbeza. Dengan perkara tersebut manusia yang cerah akal fikirannya dapat mendidik diri untuk menggunakan emosi dan aktiviti yang mencerminkan emosi secara adil iaitu kena pada tempatnya.

Selain ucapan pendek yang mengaitkan kewujudan kita di dunia ini atas pengetahuan dan penjagaan ALLAH, beberapa aktiviti lain seperti mengambil wuduk ketika marah, solat, berdoa dan mendengar bacaan al-Quran juga merupakan kaedah berkesan untuk mengawal aktiviti minda dan fisiologi tubuh secara keseluruhan.

Pengaruh iman

Seseorang yang sedar setiap tingkah-laku diri sebenarnya memerlukan kepada penambahbaikan kerana sering diperhatikan dan dinilai oleh-Nya tidak akan mudah rasa khuatir atau bersedih hati. Sehubungan ini terdapat beberapa firman ALLAH yang membawa maksud sama terhadap orang beriman.

Sebagaimana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berkata “Tuhan kami adalah ALLAH”, kemudian mereka istiqamah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak pula bersedih hati.” (Surah Al-Ahqaf: 13)

Mungkin ada antara pembaca yang pernah mendengar ungkapan misalnya ketawa mengilai bak orang gila. Begitu juga dengan ungkapan menangis tidak sedar diri. Kedua-dua orang yang melakukan aktiviti ini bukanlah gila atau langsung tidak sedar diri namun perbuatan mereka mendekati atau sama seperti perlakuan orang gila dan orang yang tidak sedarkan diri.

Sejak dahulu lagi orang gila dan benar-benar tidak sedar seperti pengsan/tidur bebas daripada sebarang pertanggungjawaban atas tingkah laku mereka. Ia ditilik dari sudut kemasyarakatan, undang-undang mahu pun hukum agama. Orang yang waras sudah tentu tidak suka digelar kurang siuman atau tidak sedar diri, bukan?

Jadi, kesimpulannya memperteguh keimanan terhadap ALLAH dengan melakukan ibadah seperti solat, berdoa (termasuk ruqyah), membaca Quran atau mendengar bacaan al-Quran dapat mengawal emosi dan aktiviti mencerminkan emosi, malah merehatkan fungsi minda secara keseluruhan dan dipercayai dapat mengelak atau mengurangkan simptom penyakit termasuk asma.
Ingatlah, amalan gaya hidup sihat serta holistik memerlukan peranan unsur kerohanian (soul) yang stabil dan kukuh.

No comments:

Post a Comment