BUKAN mudah untuk memahami sikap seorang remaja. Remaja sukakan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka mahu mengundang keburukan. Mereka suka memberontak dan merasakan orang dewasa tidak memahami kehendak dan keperluan mereka.
Hakikatnya mereka tidak sedar bahawa orang dewasa juga pernah melalui tempoh remaja seperti mereka. Sahabat saya adalah seorang anak tipikal Melayu yang dimanjakan secara material. Sebut apa sahaja, dia akan dapat.
Di sekolah asrama, dia seperti ketua. Dipandang tinggi kawan-kawan yang rata-ratanya anak Felda. Bukan kerana dia angkuh tapi kerana dia tidak lokek dengan harta benda dan kewangannya. Belanja kawan-kawan seolah-olah memberikan dia suatu kepuasan. Namun saya tahu, ada yang hilang dalam hidupnya; kasih sayang dan sentuhan erat ibu bapa.
Habis sekolah kami menuntut di kolej yang sama. Sikapnya masih tidak berubah. Suka berbelanja dan membawa kawan-kawan bersosial. Dibelikan kereta dan pakaian yang cantik-cantik malah poketnya tak pernah kering dengan ringgit yang bernilai besar.
Semester ke lima, dia keluar dari rumah ibu bapanya dan memilih tinggal di rumah sewa bersama-sama kawan yang lain. Meski pun tidak pernah ketandusan wang, saya hairan kenapa dia memilih jalan itu.
Tinggal di bilik sempit dalam rumah sewa yang berbau pekung berbanding di rumah ibu bapa yang besar dan mewah yang tentu sekali dilengkapi pembantu mengundang pertanyaan di hati saya. “Balas dendam” Itu sahaja jawapannya. “Kenapa?” Soal saya semula.
“Mak dengan abah sibuk sampai tak ada masa dengan aku. Mak kalau tak pergi butik asyik ke luar negara dengan kawan-kawan dia. Abah lagilah tak ada kat rumah. Abang-abang dan kakak tinggal di US. Aku sunyi.” Beritahunya. Jawapan yang saya tak dapat sangkal kebenarannya.
Apa yang menyedihkan saya, balas dendamnya bukan setakat mendorongnya lari dari keluarga, tetapi mengubah personaliti. Dari seorang wanita dia berpenampilan seperti lelaki. Berambut pendek, kasar dan gemar bersosial.
Mula dari rumah
Itu cerita anak orang kaya. Bagaimana pula anak orang miskin dan biasa-biasa yang lari dari rumah? Mencari kebebasan? Ikut teman lelaki? Ikut kawan-kawan? Mencari kepuasan diri? Memberontak kerana hidup susah?
Inilah yang terjadi apabila perkembangan sahsiah diri tidak dipantau secara total oleh ibu bapa. Sahsiah diri didefinasikan sebagai tingkah laku moral yang tidak melanggar norma-norma kehidupan masyarakat. Ia banyak di pengaruhi proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat dan persekitaran terdekat, terutama keluarga.
Ibu bapalah yang sebenarnya menjadi rujukan paling dekat dengan anak-anak dalam membentuk sahsiah diri. Apa pun alasan yang diutarakan, pokoknya berpusat berpusat kepada satu alasan, iaitu sikap / attitude.
Kenapa sikap? Kerana positif atau negatifnya kita berpunca dari kebiasaan serta amalan yang terdapat dalam keluarga. Keluargalah agen sosialisasi yang paling rapat dengan kita. Kita terbentuk kerana cara kita dididik dan cara kira menerima didikan. Jika keluarga sendiri menjauhkan diri, maka remaja mencari rakan sebaya, menjadikan peribadi dipengaruhi unsur luar.
Peranan orang tua
Dalam meniti arus kemodenan ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak supaya menjadi seorang yang berwawasan dan berkaliber. Mereka adalah generasi penyambung legasi masa depan yang akan membangunkan negara.
Jadilah ibu bapa teladan dengan menampilkan sikap positif semenjak dari kecil. Sebagai contoh, bertuturlah dengan bahasa yang sopan, tidak mencaci jiran atau pemandu di jalan raya, tidak merokok di hadapan anak-anak dan tidak juga bergaduh sesama pasangan di hadapan mereka.
Jangan melenting jika perangai buruk ditiru anak-anak kerana kitalah yang menjadi cermin poribadi mereka, persis pepatah “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.”
Ada ibu bapa muda yang moden mempraktikkan cara penjagaan anak mengikut internet. Mengasingkan tempat tidur anak di dalam bilik lain semenjak bayi bagi mereka ialah cara mendidik anak berdikari apabila dewasa.
Adakah ini cara yang betul? Apakah kerana terlajak berdikari akhirnya anak-anak memilih untuk menjalani kehidupan sendiri pada usia yang masih mentah? Sama-sama kita bincangkan.
No comments:
Post a Comment