Sunday, 14 December 2014

PELIHARA AKHLAKMU.. BERPEGANG TEGUH LAH DENGAN AL-QURAN...

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Meminta keampunan daripada-Nya dan meminta perlindungan kepada-Nya daripada kejahatan diri serta keburukan amal perbuatan. Sesungguhnya tidaklah masuk hal yang sama bagi Muslim yang menginginkan keselamatan dirinya di dunia dan akhirat.

Berpegang teguhlah kita kepada al-Quran dan As-Sunnah. Dengan pemahaman ulama salafusoleh, ia  adalah penyelamat bagi sesiapa yang menginginkan keselamatan ke atas dirinya.

Sedar atau tidak, jika dilihat dalam masyarakat Islam hari ini, ramai yang tidak menjaga akhlak. Terutama mereka yang berbeza pendapat dan pandangan dalam bab agama. Hilangnya rasa malu dan hormat. Terutama apabila berdiskusi di lapangan media sosial. Dengan lantang mereka mengeluarkan pendapat tanpa memikirkan kesan negatifnya terlebih dahulu.

Akhlak di laman sosial

Di medan media sosial, terdapat pelbagai akhlak buruk dipamerkan. Mencaci, mengaibkan, menghina, dan fitnah dengan sengaja. Sewenangnya mereka menganggap perkara ini gurauan dan bahan untuk membalas ketidakpuasan hati masing-masing dan gigih mempertahankan hujah. Ingatlah pada sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud: "Di antara kebaikan Islam seseorang itu iaitu meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya." (Riwayat At-Tirmizi)
Adakah cara ini dibolehkan? Adakah akhlak ini diajar oleh Islam dan ibu bapa kita? Pastinya tidak. Maka daripada mana datangnya akhlak buruk lagi keji ini. Apa pula pandangan dan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap kita?
Semestinya akhlak ini datangnya daripada hati dan jiwa yang kosong tanpa ilmu, iman dan kotor. Berhati-hatilah daripada berkata-kata mengikut kata hati. Firman ALLAH: "Apa pun perkataan yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid." (Surah Qaff: 18)

Kadangkala perdebatan itu menjadi bertambah parah dan panas apabila membabitkan tokoh agama. Ini kerana apabila berhadapan dengan gajet canggih yang menghubungkan kita dengan media sosial, kita tidak dapat menahan diri untuk berkongsi, bercerita dan mengulas keburukan orang lain. Mengaibkan dan memfitnah sesama saudara Islam.

Bahaya lisan

Bahaya lisan itu sangat banyak. Rasulullah SAW bersabda: "Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat memelihara  lidahnya." (Riwayat Abi Daud)
Baginda SAW turut bersabda: "Tiap-tiap ucapan anak Adam menjadi tanggungjawabnya, kecuali menyebut nama ALLAH, menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran." (Riwayat Ibnu Majah)

Berkata baik atau diam

Tahukah apa tujuan utama kita hidup di dunia ini? Adakah kita hidup untuk berhujah dan bergaduh di laman sosial?. Pernahkah setiap kali kita berhadapan dengan media sosial, kita berfikir dan muhasabah diri sejenak sebelum menulis atau berkongsi sesuatu perkara?

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya dan barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." (Riwayat Bukhari)

Akhlak salafusoleh

Benar, setiap daripada kita mempunyai hak untuk menegur dan berhujah mengenai sesuatu yang tidak benar. Namun ia mempunyai batas dalam menggunakan hak tersebut. Dan sesungguhnya mencontohi Rasulullah SAW, sahabat dan salafusoleh adalah yang perbuatan terbaik.

Tahukah kita, golongan salafusoleh sangat mulia akhlak mereka. Mereka hidup saling menyayangi, menyebarkan salam, mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam, membantu dan menyayangi yang miskin, memelihara bab halal haram, melakukan amar makruf nahi mungkar, jauhi sifat tamak, saling menasihati dalam kebenaran dan bersabar.

Mereka juga mewajibkan haji, berjihad, berjemaah dan melaksanakan solat bersama pemerintah Islam serta membimbing umat ke arah kebaikan. Kerana mereka yakin dengan sabda Rasulullah SAW: "Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat bangunan kukuh, di mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dilarang & dituntut

Kita dilarang bergaduh sesama Muslim, memutuskan persaudaraan,  membanggakan keturunan, sombong, riak, ujub dan melampaui batas serta mengganggu orang lain. Malah kita dituntut berbuat baik dengan jiran, anak yatim, orang miskin, kanak-kanak dan orang yang bermusafir serta berbudi pekerti.

Jujur dan ikhlas dalam menasihati orang lain, dengan mengharapkan keredaan ALLAH SWT dengan segala perbuatan yang kita dilakukan di dunia, hanya untuk mendapat keredaan ALLAH.
Asas amalan yang ikhlas adalah memurnikan niat kepada ALLAH SWT semata-mata. Orang yang ikhlas sentiasa takut dan mengingati ALLAH SWT serta menjauhi sifat emosi dan ingin bersaing sesama sendiri.

Bersifat zuhud jauhi ujub

Bersifat zuhud (merendah diri) dan jauhi sifat ujub (bukan untuk kelihatan hebat) dalam melakukan sesuatu perkara. Dalam satu kisah, Ibnu Mubarak berkata: "Aku tidak menemui sesuatu yang berbahaya menimpa orang yang beribadah, selain ujub."

Sabda Rasulullah SAW: "Jika kalian tidak berdosa, maka aku takut kalian ditimpa dengan perkara yang lebih besar darinya (iaitu) ujub! ujub!" (Riwayat al-Baihaqi)
Lihat akhlak Rasulullah SAW dalam berdakwah dan berhujah.

Akhlak ini sangat penting kerana jika dilakukan yang sebaliknya, mereka yang hendak kita  dakwah akan menjauhkan diri daripada dakwah dan memberi gambaran yang negatif kepada dakwah yang dibawa.

Bersifat sabar

Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang gagah perkasa tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan, tetapi kekuatan yang sebenar ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabar adalah sifat yang sangat berat. Bukan semua orang memilikinya. Namun kita dituntut untuk bersabar. Dan tidak rugi bagi orang yang bersabar. Firman ALLAH: "Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya ALLAH bersama (menolong) orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: 153)
Pelihara aib saudara lain

Dalam kita berbeza pendapat dan pandangan. Namun janganlah sesekali kita lupa mengenai akhlak menjaga aib saudara kita. ALLAH SWT berfirman: "Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji (aib) itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan ALLAH SWT mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nuur: 19)

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa menutup aib seseorang Islam, maka ALLAH akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat." (Riwayat At-Tirmidzi)

Semoga penulisan ini memberi sedikit manfaat dan kesedaran kepada kita semua dalam menjaga akhlak diri. Terutama dalam bab berhujah mengenai ilmu agama.

Semoga kita semua dipelihara dan dilindungi oleh ALLAH daripada segala fitnah serta menutup setiap aib kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat." (Riwayat Ahmad)

REMAJA LARI DARI RUMAH



BUKAN mudah untuk memahami sikap seorang remaja. Remaja sukakan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka mahu mengundang keburukan. Mereka suka memberontak dan merasakan orang dewasa tidak memahami kehendak dan keperluan mereka.

Hakikatnya mereka tidak sedar bahawa orang dewasa juga pernah melalui tempoh remaja seperti mereka. Sahabat saya adalah seorang anak tipikal Melayu yang dimanjakan secara material. Sebut apa sahaja, dia akan dapat.
Di sekolah asrama, dia seperti ketua. Dipandang tinggi kawan-kawan yang rata-ratanya anak Felda. Bukan kerana dia angkuh tapi kerana dia tidak lokek dengan harta benda dan kewangannya. Belanja kawan-kawan seolah-olah memberikan dia suatu kepuasan. Namun saya tahu, ada yang hilang dalam hidupnya; kasih sayang dan sentuhan erat ibu bapa.
Habis sekolah kami menuntut di kolej yang sama. Sikapnya masih tidak berubah. Suka berbelanja dan membawa kawan-kawan bersosial. Dibelikan kereta dan pakaian yang cantik-cantik malah poketnya tak pernah kering dengan ringgit yang bernilai besar.

Semester ke lima, dia keluar dari rumah ibu bapanya dan memilih tinggal di rumah sewa bersama-sama kawan yang lain. Meski pun tidak pernah ketandusan wang, saya hairan kenapa dia memilih jalan itu.

Tinggal di bilik sempit dalam rumah sewa yang berbau pekung berbanding di rumah ibu bapa yang besar dan mewah yang tentu sekali dilengkapi pembantu mengundang pertanyaan di hati saya. “Balas dendam” Itu sahaja jawapannya. “Kenapa?” Soal saya semula.
“Mak dengan abah sibuk sampai tak ada masa dengan aku. Mak kalau tak pergi butik asyik ke luar negara dengan kawan-kawan dia. Abah lagilah tak ada kat rumah. Abang-abang dan kakak tinggal di US. Aku sunyi.” Beritahunya. Jawapan yang saya tak dapat sangkal kebenarannya.
Apa yang menyedihkan saya, balas dendamnya bukan setakat mendorongnya lari dari keluarga, tetapi mengubah personaliti. Dari seorang wanita dia berpenampilan seperti lelaki. Berambut pendek, kasar dan gemar bersosial.
Mula dari rumah

Itu cerita anak orang kaya. Bagaimana pula anak orang miskin dan biasa-biasa yang lari dari rumah? Mencari kebebasan? Ikut teman lelaki? Ikut kawan-kawan? Mencari kepuasan diri? Memberontak kerana hidup susah?

Inilah yang terjadi apabila perkembangan sahsiah diri tidak dipantau secara total oleh ibu bapa. Sahsiah diri didefinasikan sebagai tingkah laku moral yang tidak melanggar norma-norma kehidupan masyarakat. Ia banyak di pengaruhi proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat dan persekitaran terdekat, terutama keluarga.

Ibu bapalah yang sebenarnya menjadi rujukan paling dekat dengan anak-anak dalam membentuk sahsiah diri. Apa pun alasan yang diutarakan, pokoknya berpusat berpusat kepada satu alasan, iaitu sikap / attitude.

Kenapa sikap? Kerana positif atau negatifnya kita berpunca dari kebiasaan serta amalan yang terdapat dalam keluarga. Keluargalah agen sosialisasi yang paling rapat dengan kita. Kita terbentuk kerana cara kita dididik dan cara kira menerima didikan. Jika keluarga sendiri menjauhkan diri, maka remaja mencari rakan sebaya, menjadikan peribadi dipengaruhi unsur luar.

Peranan orang tua
Dalam meniti arus kemodenan ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak supaya menjadi seorang yang berwawasan dan berkaliber. Mereka adalah generasi penyambung legasi masa depan yang akan membangunkan negara.

Jadilah ibu bapa teladan dengan menampilkan sikap positif semenjak dari kecil. Sebagai contoh, bertuturlah dengan bahasa yang sopan, tidak mencaci jiran atau pemandu di jalan raya, tidak merokok di hadapan anak-anak dan tidak juga bergaduh sesama pasangan di hadapan mereka.

Jangan melenting jika perangai buruk ditiru anak-anak kerana kitalah yang menjadi cermin poribadi mereka, persis pepatah “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.”
Ada ibu bapa muda yang moden mempraktikkan cara penjagaan anak mengikut internet. Mengasingkan tempat tidur anak di dalam bilik lain semenjak bayi bagi mereka ialah cara mendidik anak berdikari apabila dewasa.
Adakah ini cara yang betul? Apakah kerana terlajak berdikari akhirnya anak-anak memilih untuk menjalani kehidupan sendiri pada usia yang masih mentah? Sama-sama kita bincangkan.

ASMA & PENGARUH IMAN ??



ASMA menimbulkan simptom ringan hinggalah kepada simptom yang boleh mengancam nyawa. Pencetus asma terdiri daripada sesuatu bahan, aktiviti atau keadaan. Ia menyebabkan penghidap mengalami serangan asma dalam bentuk simptom secara serta-merta atau memburukkan simptom yang sedang dialami.

Apabila seseorang diserang asma, saluran udara dalam paru-paru menjadi sempit dan mengembang. Keadaan tersebut seterusnya menyebabkan seseorang akan mengalami batuk, sukar untuk bernafas dan lelah. Beberapa pencetus asma yang utama termasuk infeksi respiratori, bahan yang menyebabkan alahan, bahan merengsa, senaman dan emosi.

Kesensitifan seorang penghidap terhadap pencetus asma berbeza antara seorang dengan yang lain. Maksudnya ialah sesuatu pencetus hanya menyebabkan serangan asma pada penghidap tertentu sahaja.

Penghidap asma yang sensitif mudah mengalami serangan asma walaupun pencetus pada hakikatnya bukankah bahan, aktiviti atau keadaan yang berbahaya. Sungguhpun terdapat penerangan dari sudut fisiologi mengapa pencetus asma menimbulkan serangan pada penghidap asma, namun begitu sebahagian daripada tindakan yang mencetus serangan dipercayai memiliki kaitan dengan minda.

Jangkaan jadi realiti?

Sebuah kajian berjudul Asthma and odors: The role of risk perception in asthma exacerbation seperti dilaporkan dalam Journal of Psychosomatic Research (Oktober 2014) menunjukkan jangkaan seseorang terhadap kesan fisiologi pencetus asma menyumbang tindak balas pada saluran udara paru-paru.
Dalam kajian tersebut, golongan penghidap asma didedahkan kepada bauan ros yang dikenali dengan istilah kimia phenylethyl alcohol. Bahan ini dikatakan tidak memiliki sebarang sifat yang berbahaya. Sebuah kumpulan diberitahu bauan tersebut bersifat terapeutik manakala sebuah kumpulan lagi diberitahu bauan tersebut boleh menyebabkan masalah pernafasan.

Golongan penyelidik kajian mendapati dua kumpulan yang menyertai kajian tersebut mengalami perbezaan ketara dari segi tindak balas mereka terhadap bauan tersebut. Kumpulan yang percaya bauan tersebut berbahaya didapati mengalami keradangan (inflamasi) yang teruk pada saluran dalam paru.

Keradangan yang dialami juga berlangsung selama 24 jam. Kesan tersebut seterusnya menyebabkan subjek-subjek kajian menjadi sensitif terhadap pencetus asma yang lain.

Pada masa sama, kumpulan yang diberitahu bauan tersebut menyumbang sifat terapeutik pula tidak mengalami peningkatan keradangan pada saluran paru-paru. Ini termasuk subjek yang menyatakan mereka terlalu sensitif kepada pelbagai jenis bau-bauan.
Bau-bauan yang kuat termasuk minyak wangi, deodoran, pelbagai jenis bahan pencuci, lilin harum, semburan rambut serta pelbagai produk perapian diri memang sedia diketahui berpotensi mencetus serangan asma.

Adakah terdapat kemungkinan jangkaan kumpulan subjek mengenai bauan ros yang didedahkan kepada mereka bersifat berbahaya menjadi sebahagian daripada punca menyebabkan mereka mengalami serangan asma?

Ketua penyelidik kajian tersebut, Cristina Jaen percaya ia berlaku bukan setakat berpunca daripada bauan yang dihidu, malah apa yang seseorang fikirkan (tambahan penulis: sifat bauan dalam bentuk tindakan/kesan fisiologi) terhadap bauan yang dihidu.

Jika kajian tersebut benar maka kemungkinan besar pengawalan persepsi terhadap sesuatu bahan, aktiviti atau keadaan yang biasanya dikaitkan sebagai pencetus asma amat penting. Jadi, pengurusan rasa bimbang terhadap pencetus asma mungkin boleh membantu menghalang atau mengurangkan simptom asma.

Emosi darjah tinggi tidak kira sama ada dalam bentuk emosi positif atau negatif memang mudah mencetus serangan asma  setidak-tidaknya pada sesetengah penghidap. Ia akan menyebabkan penghidap asma bernafas dengan pantas di samping beberapa simptom lain.

Emosi yang dimaksudkan termasuklah rasa tertekan, resah, marah atau menjerit. Beria-ia ketawa atau menangis juga didapati sebagai pencetus asma.

Satu cara paling efektif untuk meredakan asma ialah dengan sering merapatkan diri dengan ALLAH. Amalan bersyukur kepada ALLAH dengan mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar apabila mendengar berita gembira biasanya menjadikan rasa girang/gembira berupaya dikawal. Begitu juga dengan kebiasaan beristighfar apabila mendengar atau mendapati suatu keadaan yang kita rasa berlaku di luar kawalan kita.

Semua jenis emosi dan aktiviti seperti menangis dan menjerit merupakan nikmat yang dicipta oleh ALLAH SWT untuk manusia. Secara zahir ia bertujuan agar manusia dapat mengalami pelbagai perasaan yang berbeza. Dengan perkara tersebut manusia yang cerah akal fikirannya dapat mendidik diri untuk menggunakan emosi dan aktiviti yang mencerminkan emosi secara adil iaitu kena pada tempatnya.

Selain ucapan pendek yang mengaitkan kewujudan kita di dunia ini atas pengetahuan dan penjagaan ALLAH, beberapa aktiviti lain seperti mengambil wuduk ketika marah, solat, berdoa dan mendengar bacaan al-Quran juga merupakan kaedah berkesan untuk mengawal aktiviti minda dan fisiologi tubuh secara keseluruhan.

Pengaruh iman

Seseorang yang sedar setiap tingkah-laku diri sebenarnya memerlukan kepada penambahbaikan kerana sering diperhatikan dan dinilai oleh-Nya tidak akan mudah rasa khuatir atau bersedih hati. Sehubungan ini terdapat beberapa firman ALLAH yang membawa maksud sama terhadap orang beriman.

Sebagaimana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berkata “Tuhan kami adalah ALLAH”, kemudian mereka istiqamah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak pula bersedih hati.” (Surah Al-Ahqaf: 13)

Mungkin ada antara pembaca yang pernah mendengar ungkapan misalnya ketawa mengilai bak orang gila. Begitu juga dengan ungkapan menangis tidak sedar diri. Kedua-dua orang yang melakukan aktiviti ini bukanlah gila atau langsung tidak sedar diri namun perbuatan mereka mendekati atau sama seperti perlakuan orang gila dan orang yang tidak sedarkan diri.

Sejak dahulu lagi orang gila dan benar-benar tidak sedar seperti pengsan/tidur bebas daripada sebarang pertanggungjawaban atas tingkah laku mereka. Ia ditilik dari sudut kemasyarakatan, undang-undang mahu pun hukum agama. Orang yang waras sudah tentu tidak suka digelar kurang siuman atau tidak sedar diri, bukan?

Jadi, kesimpulannya memperteguh keimanan terhadap ALLAH dengan melakukan ibadah seperti solat, berdoa (termasuk ruqyah), membaca Quran atau mendengar bacaan al-Quran dapat mengawal emosi dan aktiviti mencerminkan emosi, malah merehatkan fungsi minda secara keseluruhan dan dipercayai dapat mengelak atau mengurangkan simptom penyakit termasuk asma.
Ingatlah, amalan gaya hidup sihat serta holistik memerlukan peranan unsur kerohanian (soul) yang stabil dan kukuh.

KAJIAN PENYUSUTAN RINGGIT MALAYSIA SEDANG DIJALANKAN

KOTA BHARU - Kerajaan sedang menjalankan kajian yang menyeluruh berhubung penyusutan nilai ringgit, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kajian diselaraskan dengan beberapa pihak termasuk Miti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memastikan penyusutan nilai ringgit tidak mendadak dan memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Kita mempunyai pakar dalam kerajaan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, EPU dan Miti yang sedang mengkaji perkara ini.

"Apa yang berlaku ada baik dan buruknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Jariah Bank Islam dan Dua Kereta BMW Kepada Pemenang Kempen BMW Pembiayaan Peribadi-i 2014, di sini hari ini.
Mustapa berkata sebagai sebuah negara perdagangan, penyusutan nilai ringgit sudah tentu memberi kesan dan kajian teliti amat perlu dilakukan untuk menentukan kesannya ke atas import, eksport, inflasi, guna tenaga dan lain-lain.
"Turun naik dalam berniaga ini biasa, tidak ada suatu yang tetap dalam dunia ini, kadang-kadang kita untung kadang-kadang kita rugi sedikit. 
"Kadang-kadang ringgit naik, kadang-kadang jatuh, ini perkara biasa ikut keadaan pasaran. Sehari dua ini, ia turun sedikit dan mungkin suatu hari nanti ia akan naik pula, ini perkara biasa dalam  pasaran, yang penting kita tidak mahu kejatuhan yang mendadak kerana ia akan memberi kesan yang teruk," katanya, dengan menambah setakat ini ekonomi negara adalah kukuh.

Ditanya kemungkinan ringgit harus ditambat berbanding dolar AS, Mustapa berkata langkah itu tidak perlu kerana ia juga mempunyai kesan buruk dan baik.

TERTUSUK PENYEPIT MAKANAN




WUHAN - CHINA. Malang tidak berbau apabila seorang budak lelaki berusia 12 tahun tercucuk penyepit makanan pada lehernya ketika sedang menikmati mi sambil berjalan.

Insiden itu berlaku selepas dia dilanggar skuter elektrik bapa rakannya, ketika dia mahu pulang ke kelas lapor  Mirror.

Jun Chia bernasib baik apabila pemeriksaan di hospital menunjukkan kedudukan penyepit itu tidak mengakibatkan kerosakan pada sebarang organ dalaman.

“Kami lakukan imbasan CT dan mendapati penyepit itu tidak mengenai trakea, esofagus atau pembuluh darah utamanya.

“Budak lelaki itu memang bernasib baik dan kami juga berjaya melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyepit itu," kata Pegawai Perubatan, Zhou Jen.

PUTERA GEORGE ALEXANDER LOUIS

 
 
PASANGAN diraja, Putera William dan Kate Middleton akhirnya mendedahkan tiga keping gambar putera pertama mereka, Putera George Alexander Louis secara rasmi, lapor BBC.
 
Gambar yang dirakam oleh setiausaha peribadi Putera Harry, Ed Lane Fox itu diambil di Istana Kensington, bulan lalu.
 
Pendedahan gambar itu sebagai tanda terima kasih pasangan diraja itu kepada pihak media yang tidak mendedahkan sebarang gambar anaknya.
 
Putera William dan Kate bersyukur kerana permintaan mereka agar Putera George yang lahir 22 Julai 2013 lalu itu boleh membesar tanpa gangguan, dihormati media.
 
Kini, pasangan diraja ini sedang menanti kedatangan anak kedua yang dijangka April nanti.

TIDAK SEDAR SYIRIK DALAM DOA ??

TIDAK SEDAR SYIRIK DALAM DOA ??


ANTARA keistimewaan Islam ialah ALLAH Azza wa Jalla menyediakan ruang secara langsung untuk sesiapa sahaja berhubung, memohon, merayu, merintih, meminta dan berdoa mengikut keperluan masing-masing. Sama ada pemimpin atau rakyat biasa, miskin atau kaya, tua atau muda, orang awam atau orang agama, tidak kira latar bangsa dan kedudukannya, di mana sahaja dia berada, kutub selatan atau utara; semua diberikan ruang dan peluang yang sama.

Berdoa terus kepada ALLAH

Mintalah kerana ALLAH itu Maha Mendengar. Pohonlah kerana ALLAH itu Maha Memakbulkan. Istighfarlah kerana ALLAH itu Maha Pengampun. Malam atau siang, pagi atau petang, di masjid atau di padang, sambil berdiri atau baring melintang, ALLAH tetap mendengar apa yang kita minta. ALLAH itu sangat dekat dengan hamba-Nya, bahkan lebih dekat daripada apa yang kita sangkakan.

ALLAH bersedia untuk mendengar, bersedia untuk memberi, bersedia untuk memakbulkan. Bila dan bagaimana? Terserahlah kepada keadilan dan ketentuan-Nya. ALLAH berpesan kepada Baginda SAW: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". (Surah al-Baqarah: 186)

Dalam ayat lain, ALLAH menyatakan: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya". (Surah Qaf: 16)

Justeru, berhubung dan berdoalah secara langsung kepada ALLAH. Selagi mana kita bergelar hamba, selama itulah kita mempunyai hak untuk berdoa. ALLAH tidak pernah mendiskriminasikan hamba-Nya mengikut bangsa, warna kulit, pangkat, jawatan dan harta. Hanya nilai takwa yang membezakan antara manusia.

Perantaraan dalam doa

Namun begitu, Islam tetap membenarkan kita untuk mewujudkan perantaraan dalam berdoa. Hal ini disebut sebagai tawasul. Tawassul berasal daripada bahasa Arab wasilah, tawassala-yatawassalu-tawassulan. Tawassul dalam berdoa bermaksud kita menjadikan sesuatu sebagai perantara dalam doa.

Apakah perkara yang boleh kita tawasul? Ada tawassul yang dibenarkan dan ada tawassul yang diharamkan, bahkan boleh jatuh kepada kesyirikan.

Tawassul  dibenarkan

Pertama: Tawassul dengan nama ALLAH. Hal ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud: "Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu". (Surah al-A’raf: 180)

Tawassul dengan nama ALLAH itu contohnya kita berdoa: "Ya Ghaffar, ighfirli" (Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunilah daku). "Ya Rahman Ya Rahim, irhamni" (Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Pengasih, kasihanilah daku".

Tawassul dengan nama-nama ALLAH bermaksud kita memilih dan menyebut nama-nama ALLAH yang sesuai dengan hajat dan permintaan kita. Dengan ketinggian dan kemuliaan nama-nama tersebut kita mohon semoga ALLAH perkenankan hajat kita.

Kedua: Tawassul dengan amalan soleh sendiri. Kita dibolehkan untuk menyebut amal soleh yang pernah kita lakukan kemudian diikuti dengan berdoa hajat kita. Diharapkan dengan keikhlasan dan keberkatan amal soleh tersebut dapat dimakbulkan hajat kita.

Hal ini berdasarkan kisah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan tiga lelaki yang terperangkap dalam gua. Ada batu besar yang menutupi pintu gua tersebut. Lalu, seorang berdoa dengan mengatakan dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab ALLAH, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya.

Maka dengan amalan soleh itu mereka berdoa kepada ALLAH agar dibukakan pintu gua tersebut.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 2272)

Ketiga: Tawassul dengan orang soleh yang masih hidup. Kita boleh berjumpa dengan orang soleh yang akidah dan amal ibadatnya bertepatan dengan al-Quran dan sunnah bagi meminta tolong didoakan kepada kita. Diharapkan dengan kesolehan beliau akan menjadikan doa kepada kita tersebut dimakbulkan.

Tawassul dengan orang soleh ini dibenarkan dengan syarat orang tersebut masih lagi hidup. Jika seorang yang soleh meninggal dunia, kita tidak dibenarkan untuk bertawasul dengan beliau lagi.Sahabat sering meminta agar Rasulullah SAW berdoa kepada mereka.

Namun, setelah kewafatan Baginda SAW, sahabat tidak pun pergi ke kubur Rasulullah SAW dan minta untuk didoakan. Contohnya Umar Al-Khatthab  pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dan Umar berkata: "Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi SAW. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia dalam kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami". (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 3710)

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah di landa kemarau panjang. Umar meminta Abbas berdoa dan beliau pun berdoa. Tidak lama setelah itu, ALLAH pun menurunkan hujan kepada mereka.

Doa yang dilarang

Tawassul yang dilarang adalah seperti meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada ALLAH, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada ALLAH.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Diharamkan untuk kita menjadikan orang yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa kita, walaupun semasa hidup dia seorang yang soleh. Bahkan kepada Rasulullah SAW sendiri.

Jika dibolehkan sudah pasti Umar al-Khattab tidak berjumpa dengan Abbas untuk minta didoakan. Umar akan terus ke kubur Baginda Rasulullah SAW untuk minta didoakan. Rasulullah SAW lebih lagi mulia dan soleh.

Justeru, kata-kata dan tindakan Umar ini menunjukkan tidak disyariatkan untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati sama ada dengan menyebut "Madad Ya Rasulallah", "Madad Ya Ali", ‘Madad Ya Husain" dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.

Namun, pelik dan hairan ada segolongan manusia yang bertopengkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, berjubah dan berserban, bermati-matian ingin mempertahankan boleh untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati.

Sebab itu golongan ini ada yang mengunjungi kubur tok guru dan syekh-syekh mereka untuk minta didoakan. Ada yang mengalunkannya dalam nyanyian dan qasidah.

 Semoga ALLAH selamatkan kita daripada hasutan dan ajaran menyeleweng ini sama ada yang berasal dari negara ini atau yang dibawa dari  luar negara. Berdoalah terus kepada ALLAH kerana ruang itu tidak pernah disekat. Sesiapa sahaja dan di mana pun kita berada.

Berdoalah dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kejelasan tauhid kepada-Nya. Jangan sampai ada unsur syirik yang tidak kita sedari. Yakinlah ALLAH tidak pernah mungkiri janji. Setiap permintaan akan diberi. Sabar dan terus menanti walaupun sampai akhirat nanti.

JAMBATAN GANTUNG TERPANJANG DUNIA

JAMBATAN GANTUNG TERPANJANG DUNIA....

 REUTTE - AUSTRIA. Sebuah jambatan gantung bagi pejalan kaki yang baharu dibuka di Austria diiktiraf sebagai terpanjang di dunia.

Jambatan yang dipasang pada ketinggian 112 meter dan 405 meter panjang itu mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan.

Dikenali sebagai Highline 179, ia mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records baru-baru ini.

Difahamkan, jambatan tersebut menghubungkan kawasan Ehrenberg dan Claudia.

JUTAWAN KERANA KUCING ???


 JUTAWAN KERANA KUCING ???


ARIZONA - AMERIKA SYARIKAT. Tabatha Bundesen, 29, pemilik kucing unik 'Grumpy Cat' meraih hampir AS$100 juta dek populariti haiwan itu.
'Grumpy Cat' mula popular selepas adik Tabatha mengambil gambar kucing tersebut dan memuatnaiknya ke laman forum Reddit, lapor Assiociate Press.
Keunikan kucing tersebut yang menghidap sindrom 'dwarfism' yang membuatkannya 'bermuka garang dan pemarah'.
Mimik muka kucing tersebut terlalu unik, lantas dikenali sebagai 'Grumpy Cat' dan digunakan di laman-laman sosial sebagai 'meme'.
'Meme' atau jenaka bergambar merupakan salah satu ekspressi tidak terhad warga internet terhadap perkara-perkara yang relevan kepada subjek.
Tabatha mampu berhenti kerja sebagai pelayan restoran pada hari pertama 'Grumpy Cat' meraih populariti, sekaligus memenuhi undangan dan jemputan konvensyen komik.
Kucing betina itu dijangka akan terus meraih populariti dan menjana pendapatan untuk tuannya